Tuesday, 22 January 2013

Sepi yang mesra...

Derapan ranting getah yang patah ditiup angin keras lewat pagi itu, menghenti sejenak tahlilku untuk almarhum ayahanda di perkuburan sepi ini. kulayang sekilas kerling, merentasi tombol-tombol nisan yang kaku berlumut hijau, tersusun rapi, menghadap kiblat. kesepian yang nikmat. Kesunyian yang mesra. Anak-anak kemboja tenggelam timbul, memutih dan memerah dari kejauhan. Sesekali angin berbisik lembut, meliuk dan melentuk daunan jenjuang yang tegak-tegak terpacak disana-sini.

Kesunyian ini, benar terasa ketulenannya. Kesepian yang bukan diatur-atur, tidak dibuat-buat. Ini tahun ketiga kepulangan ayahanda. Dan sejak kepulangan itu, sentiasa kugagah-gagah diri ini menziarahi. Dan dalam tiap ziarah ini, aku menziarahi diriku sendiri sebenarnya. Ingatan kepada ayahanda, adalah kenangan tentang diri. Bisikan-bisikan, angguk-angguk kecil ayahanda, getusan kata-kata keras ayahanda, adalah semua sekali paparan tentang diriku sendiri. Layar cerita jalan hidup ayahanda, adalah layangan keinsananku. Maka, tiap hadir ini, biasa kuakhiri dengan kefahaman. Faham tentang ayahanda, tentang maksud-maksud perlakuannya, tentang tamsil-tamsil tindakannya. Dan dari situ, keinsananku akan bicara. Seperti sebuah lukisan yang satu-satu warnanya bertambah dan bertambah dan bertambah, semakin melengkap dan melengkap dan sempurna.

Kesepian di tanah barzakh ini, adalah kesepian yang abadi. Kesepian yang indah. Di tanah ini, tiada kepuraan yang bakal memedihkan dan memalsukan jalan hidup. Kesepian ini adalah janji yang tidak mungkir. Kesepian ini adalah persediaan, bila nanti aku pulang padaNya. Sungguh benar janji Allah, tiap-tiap yang hidup pasti akan merasai mati. Dan aku sedia, dan rindu, dan redha akan saat pulangku.

Diri ini, yang jalannya bermula janji, di alam rahim ibuku, akan sudahnya nanti, tepat seperti janjiNya. Di alam yang nantinya rohku lena menanti alam penghakiman. Alam yang menentukan keabadianku. Alam yang dijanji Allah dengan berita gembira dan berita derita. Alam abadi yang nantinya menjadi cerminan perjalananku di dunia singkat yang fana ini.

Maha suci Allah yang maha tinggi rahmatNya. Tiada lagi getar gusar dan takut di hati ini. Tinggal mengharap. Tinggal berdoa, tinggal nasuha, tinggal istiqamah mendekati sang Pencipta, mudah-mudahan Dia berpaling menatapku. Mudah-mudahan kotor nafsuku, denai maksiatku, jadi suci dengan kepasrahan taubatku. Mudah-mudahan benih yang kutai dan nyaris menjadi hampas ini kembali segar dan bertunas dan tumbuh, seperti hijaunya tunas padi dicelahan jerami kering bersalut lumpur. Mudah-mudahan.

Sabda Rasulullah SAW; Allah telah berfirman: Aku selalu mengikuti sangka hambaKu, dan Aku selalu menyertai dia, dimana ia ingat kepadaKu. Demi Allah, sungguh Allah lebih senang menerima taubat hambaNya dari seorang yang mendapat kembali barangnya yang telah hilang di hutan. Dan siapa yang mendekat kepadaKu sejengkal, Aku mendekat kepadanya sehasta, dan siapa yang mendekat kepadaKu sehasta, Aku mendekat kepadanya sedepa. Dan bila ia datang kepadaKu dengan berjalan, Aku datang kepadanya dengan berjalan cepat. ( Bukhari dan Muslim)

Mudah-mudahan.

Thursday, 17 January 2013

Soal Hati

Segala-galanya adalah tentang hati. Hati yang dijanji Allah, bahawa jika murni,suci hati itu, maka murni dan sucilah diri. Setiap lintasan itu, nantinya menggerakkan diri ke lorong-lorong yang menjadi pilihan hati. Makanya diri, laku, lisan, jiwa dan akal, semuanya berbalik pada hati. Mana mungkin hati yang dinaungi nafsu mampu memimpin gerak kejalan taqwa? Mana mungkin hati yang disalut ujub menarikku ke lembah tawadhuk? Hati ini, yang cenderungnya pada nafsu, diselaputi mazmumah, cintanya pada dunia, lalai pada akhirat.

Maka diri ini sentiasa resah dan murung, bimbang hati yang cuba kubajai dengan taqwa ini terpesong, layu, kering dan mati direnggut kekangan iltizam dan istiqamah yang tak berkecukupan. Gelisah menanti hadirnya as-sakinah, ketenangan yang abadi. Tenang dalam percaya. Percaya yang yaqin. Yaqinul-Haq.  

Monday, 7 January 2013

Jalan Taubat

Dan jalan taubat itu adalah penyucian yang kudus. Seputih-putih pembersihan. Bukan bersih yang maddi, tapi ma'nawi. Jalan taubat adalah jalan kepulangan. Pulang dari kesesatan yang menggelapi fitrah. Pulang dari kotoran lembah acar kemaksiatan. Jasad ini, untungnya tiada ditandai Allah atas setiap dosa-dosa dan kemaksiatan yang kujunjung sepanjang jalan gelap ini. Wajah ini, syukurlah pada Allah, tidak dicoret titik-titik tanda, atas setiap kesesatan yang kukelek kesana-sini. Allahu Rabbi, tiada bayangan yang mampu memapar keagungan kasih sayangmu, pada setiap hambaMu, malah yang berdosa. Malah yang melupaiMu. Malah yang jauh dariMu. Malah yang tiada gerun pada azabMu.

Wahai orang-orang Yang beriman! bertaubatlah kamu kepada Allah Dengan " taubat Nasuha", Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke Dalam syurga Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang Yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba Dalam gelap-gelita): "Wahai Tuhan kami! sempurnakanlah bagi Kami cahaya kami, dan Limpahkanlah keampunan kepada kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu ( At-Tahriim , 8)


Lantas kasih sayang ini mengingatkan aku akan kewujudan Allah Azzawajalla, akan hakikat kewujudanNya, tentang sifat-sifatNya. Maka ingatan ini mencampakku jauh kelembah kesal dan sesal. Kesal dan sesal atas takabbur hamba yang sebenarnya tidak layak berlaku sombong padaNya. Manakan tidak. Dia, Pencipta, Yang Maha agong rahmatNya, kasihNya, sayangNya. Dia yang mendahulukan cerita rahmat sebelum azab dalam kalamNya. Dia yang - disebalik keengkaran diriku ini - sentiasa menawarkan pengampunan.

Maka taubat ini adalah cahaya yang mencerah dan mencerah dan berkilau dihujung terowongan nafsuku. Taubat ini adalah pengharapanku pada rahmatMu, ya Rabb. Jalan ini adalah jalan pulangku yang sesat mengecapi nikmat nafsuku. Jalan ini adalah kembaraku mengejar mahmudah. Mencari fitrah. Membenam mazmumah. Membunuh ammarah. Jalan ini adalah penunaian janjiku padaMu Allah, sewaktu alam rohku, sedetik sebelum Kau tiup nyawaku di dalam rahim ibuku.

Tuhanku, aku tidak layak untuk syurgaMu, namun aku tidak pula kuat menanggung siksa nerakaMu ya Allah. ya Allah, terimalah taubatku, dan ampunilah dosa-dosaku ya Rabb.

Thursday, 3 January 2013

Mengejar Kerlipan

Mengembara di alam maksiat adalah kegelapan yang memeritkan. Seperti serangkai terowongan yang sambung-menyambung, ke depan dan ke belakang, simpang siur, maju dan berpatah balik. Cemas dan lemas, tercungap-cungap keputusan nafas yang tajam menikam rongga.

Alam maksiat adalah alam penuh nikmat, yang palsu, yang bersinar indah memukau, berwarna pelangi, tetapi aduhai, beracun dan menyiksa dan membunuh fitrah manusiawi. Merobek parah keinsanan. Mencantas ihsan. Menghancur iman. Nikmat yang sakit. Indah yang pahit.

Berlari di lembah maksiat adalah kesakitan yang hakiki. Seperti busuknya acar yang berbusa, berkeladak bangkai yang mereput tersangkut di liku-liku sungai hidup ini. Tawa yang bersipongang di langit hidup, adalah genderangan yang memecah gegendang telinga. Pesona yang memperdaya. Cinta yang palsu. Kasih yang nafsu. Rindu yang hitam. Beban yang tak terdaya dipikul fitrahku.

Tetapi Sang Pencipta ? Yang Maha Agung? Allah Azzawajalla.. Begitulah Tuhanku, Allah. Tiada putus RahmanNya, RahimNya. Nikmat hakikiNya. Sesatku dibalasNya hidayah. Lupaku dibalasNya taufiq. Sesalku ditawarNya taubat. Taubat Nasuha.
Sekonyong-konyong terlihat kerlipan di penghujung jalan gelap ini.

"Bertaubatlah kamu kepada Allah, hai orang-orang yang beriman, supaya kamu beruntung"
(Annur 31)