Thursday 8 January 2009

Taqwa dalam cinta


Benarkah cinta? benarkah cinta yang telah 12 tahun aku semaikan ini? benarkah aku telah melangsaikan tanggungjawab cintaku pada isteri yang tetap disisi sepanjang alam perkongsian ini? 12 tahun yang lalu, aku melafazkan kecintaan ku pada si dia, lalu dia redha, lalu aku berjanji, dan dia lalu menerima dan memegang janjiku. seusai akad aku lafazkan, maka dia menjadi isteri dan kekasih, teman dan penghibur, perindu dan pemujuk, peramal emosiku dan pengubat resahku. Dan aku jadi suami dan kekasih, pelindung dan pemberi, juga lelaki yang menanggung janji.

lalu dalam muhasabah lelaki suami yang daif ini, aku menilai janji-janji cinta yang aku lafazkan sewaktu cinta masih muda dan penuh menyelubungi seluruh diri...lalu aku bertanya padaku,




1. isteri yang redha akan menerima suaminya seadanya. maka pantaskah jika aku menjadi suami yang cukup seadanya? cukupkah usahaku menjadi suami yang membimbing isteri kejalan ALLAH SWT?




2. isteri yang redha akan tersenyum dengan canda suaminya. maka tuntaskah candaku demi menghibur hati isteriku? adilkah aku jika aku kembali diwaktu senja dengan wajah mencuka tanpa sapaan lembut yang mendamaikan hati isteriku?




3. isteri yang redha akan gembira dengan rezeki yang dibawa pulang suaminya. justeru wajarkah jika aku sekadar menjinjit sebungkus kuih tanpa usaha keras memikul seguni beras?




4. isteri yang redha akan tenang bernaung di pondok usang demi suaminya. tetapi bukankah Taj Mahal yang aku janjikan? maka bukankah janji itu janji cinta yang sewajibnya aku tunaikan?




isteri yang redha adalah isteri solehah. isteri yang redha akan menerima kelemahan suaminya. tetapi suami yang Taqwa adalah suami yang tidak redha mengizinkan isterinya hidup bercalar duri. suami yang taqwa tidak redha isterinya menangis kerana kelemahan suami. suami yang taqwa adalah suami yang tidak redha melihat isterinya menguburkan janji-janji suaminya yang tidak tertunai....




Aku ingin jadi suami dan kekasih, pelindung dan pemberi, dan pencinta yang menunaikan janji...