Tuesday, 22 January 2013

Sepi yang mesra...

Derapan ranting getah yang patah ditiup angin keras lewat pagi itu, menghenti sejenak tahlilku untuk almarhum ayahanda di perkuburan sepi ini. kulayang sekilas kerling, merentasi tombol-tombol nisan yang kaku berlumut hijau, tersusun rapi, menghadap kiblat. kesepian yang nikmat. Kesunyian yang mesra. Anak-anak kemboja tenggelam timbul, memutih dan memerah dari kejauhan. Sesekali angin berbisik lembut, meliuk dan melentuk daunan jenjuang yang tegak-tegak terpacak disana-sini.

Kesunyian ini, benar terasa ketulenannya. Kesepian yang bukan diatur-atur, tidak dibuat-buat. Ini tahun ketiga kepulangan ayahanda. Dan sejak kepulangan itu, sentiasa kugagah-gagah diri ini menziarahi. Dan dalam tiap ziarah ini, aku menziarahi diriku sendiri sebenarnya. Ingatan kepada ayahanda, adalah kenangan tentang diri. Bisikan-bisikan, angguk-angguk kecil ayahanda, getusan kata-kata keras ayahanda, adalah semua sekali paparan tentang diriku sendiri. Layar cerita jalan hidup ayahanda, adalah layangan keinsananku. Maka, tiap hadir ini, biasa kuakhiri dengan kefahaman. Faham tentang ayahanda, tentang maksud-maksud perlakuannya, tentang tamsil-tamsil tindakannya. Dan dari situ, keinsananku akan bicara. Seperti sebuah lukisan yang satu-satu warnanya bertambah dan bertambah dan bertambah, semakin melengkap dan melengkap dan sempurna.

Kesepian di tanah barzakh ini, adalah kesepian yang abadi. Kesepian yang indah. Di tanah ini, tiada kepuraan yang bakal memedihkan dan memalsukan jalan hidup. Kesepian ini adalah janji yang tidak mungkir. Kesepian ini adalah persediaan, bila nanti aku pulang padaNya. Sungguh benar janji Allah, tiap-tiap yang hidup pasti akan merasai mati. Dan aku sedia, dan rindu, dan redha akan saat pulangku.

Diri ini, yang jalannya bermula janji, di alam rahim ibuku, akan sudahnya nanti, tepat seperti janjiNya. Di alam yang nantinya rohku lena menanti alam penghakiman. Alam yang menentukan keabadianku. Alam yang dijanji Allah dengan berita gembira dan berita derita. Alam abadi yang nantinya menjadi cerminan perjalananku di dunia singkat yang fana ini.

Maha suci Allah yang maha tinggi rahmatNya. Tiada lagi getar gusar dan takut di hati ini. Tinggal mengharap. Tinggal berdoa, tinggal nasuha, tinggal istiqamah mendekati sang Pencipta, mudah-mudahan Dia berpaling menatapku. Mudah-mudahan kotor nafsuku, denai maksiatku, jadi suci dengan kepasrahan taubatku. Mudah-mudahan benih yang kutai dan nyaris menjadi hampas ini kembali segar dan bertunas dan tumbuh, seperti hijaunya tunas padi dicelahan jerami kering bersalut lumpur. Mudah-mudahan.

Sabda Rasulullah SAW; Allah telah berfirman: Aku selalu mengikuti sangka hambaKu, dan Aku selalu menyertai dia, dimana ia ingat kepadaKu. Demi Allah, sungguh Allah lebih senang menerima taubat hambaNya dari seorang yang mendapat kembali barangnya yang telah hilang di hutan. Dan siapa yang mendekat kepadaKu sejengkal, Aku mendekat kepadanya sehasta, dan siapa yang mendekat kepadaKu sehasta, Aku mendekat kepadanya sedepa. Dan bila ia datang kepadaKu dengan berjalan, Aku datang kepadanya dengan berjalan cepat. ( Bukhari dan Muslim)

Mudah-mudahan.

Thursday, 17 January 2013

Soal Hati

Segala-galanya adalah tentang hati. Hati yang dijanji Allah, bahawa jika murni,suci hati itu, maka murni dan sucilah diri. Setiap lintasan itu, nantinya menggerakkan diri ke lorong-lorong yang menjadi pilihan hati. Makanya diri, laku, lisan, jiwa dan akal, semuanya berbalik pada hati. Mana mungkin hati yang dinaungi nafsu mampu memimpin gerak kejalan taqwa? Mana mungkin hati yang disalut ujub menarikku ke lembah tawadhuk? Hati ini, yang cenderungnya pada nafsu, diselaputi mazmumah, cintanya pada dunia, lalai pada akhirat.

Maka diri ini sentiasa resah dan murung, bimbang hati yang cuba kubajai dengan taqwa ini terpesong, layu, kering dan mati direnggut kekangan iltizam dan istiqamah yang tak berkecukupan. Gelisah menanti hadirnya as-sakinah, ketenangan yang abadi. Tenang dalam percaya. Percaya yang yaqin. Yaqinul-Haq.  

Monday, 7 January 2013

Jalan Taubat

Dan jalan taubat itu adalah penyucian yang kudus. Seputih-putih pembersihan. Bukan bersih yang maddi, tapi ma'nawi. Jalan taubat adalah jalan kepulangan. Pulang dari kesesatan yang menggelapi fitrah. Pulang dari kotoran lembah acar kemaksiatan. Jasad ini, untungnya tiada ditandai Allah atas setiap dosa-dosa dan kemaksiatan yang kujunjung sepanjang jalan gelap ini. Wajah ini, syukurlah pada Allah, tidak dicoret titik-titik tanda, atas setiap kesesatan yang kukelek kesana-sini. Allahu Rabbi, tiada bayangan yang mampu memapar keagungan kasih sayangmu, pada setiap hambaMu, malah yang berdosa. Malah yang melupaiMu. Malah yang jauh dariMu. Malah yang tiada gerun pada azabMu.

Wahai orang-orang Yang beriman! bertaubatlah kamu kepada Allah Dengan " taubat Nasuha", Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke Dalam syurga Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang Yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba Dalam gelap-gelita): "Wahai Tuhan kami! sempurnakanlah bagi Kami cahaya kami, dan Limpahkanlah keampunan kepada kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu ( At-Tahriim , 8)


Lantas kasih sayang ini mengingatkan aku akan kewujudan Allah Azzawajalla, akan hakikat kewujudanNya, tentang sifat-sifatNya. Maka ingatan ini mencampakku jauh kelembah kesal dan sesal. Kesal dan sesal atas takabbur hamba yang sebenarnya tidak layak berlaku sombong padaNya. Manakan tidak. Dia, Pencipta, Yang Maha agong rahmatNya, kasihNya, sayangNya. Dia yang mendahulukan cerita rahmat sebelum azab dalam kalamNya. Dia yang - disebalik keengkaran diriku ini - sentiasa menawarkan pengampunan.

Maka taubat ini adalah cahaya yang mencerah dan mencerah dan berkilau dihujung terowongan nafsuku. Taubat ini adalah pengharapanku pada rahmatMu, ya Rabb. Jalan ini adalah jalan pulangku yang sesat mengecapi nikmat nafsuku. Jalan ini adalah kembaraku mengejar mahmudah. Mencari fitrah. Membenam mazmumah. Membunuh ammarah. Jalan ini adalah penunaian janjiku padaMu Allah, sewaktu alam rohku, sedetik sebelum Kau tiup nyawaku di dalam rahim ibuku.

Tuhanku, aku tidak layak untuk syurgaMu, namun aku tidak pula kuat menanggung siksa nerakaMu ya Allah. ya Allah, terimalah taubatku, dan ampunilah dosa-dosaku ya Rabb.

Thursday, 3 January 2013

Mengejar Kerlipan

Mengembara di alam maksiat adalah kegelapan yang memeritkan. Seperti serangkai terowongan yang sambung-menyambung, ke depan dan ke belakang, simpang siur, maju dan berpatah balik. Cemas dan lemas, tercungap-cungap keputusan nafas yang tajam menikam rongga.

Alam maksiat adalah alam penuh nikmat, yang palsu, yang bersinar indah memukau, berwarna pelangi, tetapi aduhai, beracun dan menyiksa dan membunuh fitrah manusiawi. Merobek parah keinsanan. Mencantas ihsan. Menghancur iman. Nikmat yang sakit. Indah yang pahit.

Berlari di lembah maksiat adalah kesakitan yang hakiki. Seperti busuknya acar yang berbusa, berkeladak bangkai yang mereput tersangkut di liku-liku sungai hidup ini. Tawa yang bersipongang di langit hidup, adalah genderangan yang memecah gegendang telinga. Pesona yang memperdaya. Cinta yang palsu. Kasih yang nafsu. Rindu yang hitam. Beban yang tak terdaya dipikul fitrahku.

Tetapi Sang Pencipta ? Yang Maha Agung? Allah Azzawajalla.. Begitulah Tuhanku, Allah. Tiada putus RahmanNya, RahimNya. Nikmat hakikiNya. Sesatku dibalasNya hidayah. Lupaku dibalasNya taufiq. Sesalku ditawarNya taubat. Taubat Nasuha.
Sekonyong-konyong terlihat kerlipan di penghujung jalan gelap ini.

"Bertaubatlah kamu kepada Allah, hai orang-orang yang beriman, supaya kamu beruntung"
(Annur 31)

Wednesday, 26 January 2011

definisi kesabaran; satu penilaian semula

Mudah sahaja aku menasihati sang sahabat yang sedang memuncak amarahnya. Terpercik peluh nipis di pelipisnya. Dan aku yang terpinga-pinga kala diadukan kesakitannya, dengan pantas mengajaknya bersabar. Namun, seusai pengaduannya, aku berfikir...apakah sabar? apakah semudah kata-kata? Allah berfirman : "Sungguh akan dibalas upah (pahala) orang-orang yang sabar itu dengan tiada batas hitungan" Surah Azzumar ayat 10. Firman Allah lagi : "Dan siapa yang sabar dan memaafkan, maka itu termasuk amal yang sangat baik" Surah Assyuraa ayat 43. Begitu besarnya ganjaran bagi kesabaran. Lalu terfikir aku, berat sungguh menjalani sabar. Apakah sabar? nanti ku cari...

Wednesday, 19 January 2011

mencari pasti

Sebenar-benarnya tidak ada kepastian dalam hidup ini. Sesaat yang lalu aku ingin berkata sesuatu, sesaat seterusnya aku boleh terlupa apa yang akan kuperkatakan. Sesungguh-sungguh aku ingin menetapkan hati, sesaat boleh goyah digoncang ribut. Lalu, apa yang pasti dalam hidup ini? Mati adalah pasti. Seksa kubur adalah pasti. Syurga dan neraka adalah pasti. Wujud Allah adalah pasti.
Dalam keadaan segala serba tidak pasti, hidup mesti juga dijalani. Dan hidup bukan sebarang hidup. Hidup sebagai orang bertaqwa. menjadi orang bertaqwa, mudah diluah bibir. Menjalani hidup taqwa bagaimana?
Orang bertaqwa :
  1. Aliff, Laam, Miim
  2. Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya) ; ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang ( hendak) bertaqwa
  3. Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezqi yang Kami berikan kepada mereka.
  4. Dan juga orang-orang yang beriman kepada kitab Al-Quran yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad), dan kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya).
  5. Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya...

Tuesday, 18 January 2011

Prolog

Menjalani kehidupan adalah tugas paling berat buat manusia aku. Terpesona dengan kemanisan dunia yang sementara, tanggungjawab ukhrawi kucicir dan kucuai, sedar dan tanpa sedar. Masakan tidak, Allah berpesan di dalam QalamNya, betapa manusia yang mencintai dunia, pasti disibukkanNYA dengan urusan yang tidak berkesudahan. Lalai aku dengan hakikat manisnya dunia ini manis yang beracun, indahnya dunia ini indah yang bersalut kepuraan, cantiknya nafsu ini nafsu yang menjerumuskan aku ke murka Pencipta... sudahlah menyanyi syair dunia, hentilah menganyam impian nafsu.. Tuhanku, aku tidak layak untuk FirdausMu, namun aku tidak kuat menanggung seksa Jahim.. terimalah taubatku ya Allah, ampunilah dosa-dosaku wahai Allah yang maha Pengasih dan Penyayang..

Monday, 1 March 2010

Mengenal kenal, dan mengejar redha

Aku tidak tahu kenalkah aku pada diriku. Tidak tercapai rasanya tingkat Mutmainnah, jika dinilai pada laku dan gerak diri. Daif dan Fakir diri ini disisiNya. Malu jika dinilai kekejian diri dengan rahmatNya yang tidak pernah putus.
Saat aku melaungkan pada diri, aku tidak peduli pada dunia dan isinya, ammarah tetap mudah menyelubungi. Aku masih sukar menahan diri dari marah, marah yang memang biasanya manusia miliki. Namun aku enggan menerima kelemahan ini, kerana aku tahu, sebagai manusia yang tahu, aku tidak seharusnya punyai ammarah, meski bisikan jahat memujuk aku tunduk pada perasaan.
Begitulah aku, yang merasai kenal, sebenarnya masih terlalu jauh dari mengenal diriku. Lantas, kejahilan ini mungkinkah mendorong aku kearah MakrifatuLLAH ? mana mungkin? kerana tanpa kenal diriku sendiri, mustahil aku akan kenal padaNYA. Sebelum DIA aku kenali, bagaimana mengharap redhaNYA?
Lalu hiduplah aku dalam pencarian, saling tak tumpah pencarian ini seperti air yang mengalir dari punca digunung. mengalir dan mengalir, mencari lautan lepas - hidup kekal di alam abadi.

Wednesday, 14 October 2009

Mencari Rindu Yang Hakiki

Sesungguhnya begitu halus perasaan seorang manusia, dengan segala rencam yang rumit, berliku dan sakit dan pedih dan kadang-kadang luka. Tetapi kadang-kadang menjadi syahdu, dan puas, dan khusyuk, dan redha atas segala yang terjadi. Begitu aku merasa gerak manusiawiku, yang rumit, teraba-raba mengikut panduan yang telah tersedia. Telah ada panduan itu. Panduan Tauhid. Panduan abadi yang menjadi teras kemanusiaanku. Lalu, tauhid yang menjadi tunjang itu seharusnya terus kukuh dalam sanubari, menjadi arah, menjadi tunggak, menjadi penunjuk arah dalam kehidupanku. Tapi aku merasa rinduku ini palsu. Rinduku pada keesaanNYA hanya berlegar sekitar bibirku. bagaimana mungkin hidup mahu menjunjung ketauhidan, tetapi gerak selalu lalai dan cuai? Khusyuk hanya tinggal mimpi, Taqwa hanya tinggal idaman, rindu padaNYA tidak terterjemah pada gerak, yang seharusnya ikhlas, sesuai dengan tarafku sebagai hamba. Jika cinta, pasti rindu. Dari rindu, menjadi gerak. Gerak yang terbit dari ikhlas, adalah tunjang kehambaanku. kemarilah rindu, datang hampir padaku.

Thursday, 9 July 2009

Siri Mencari Diri (iv)

Firman Allah Taala,

Mereka yang berjuang untuk keredhaan Kami, pasti Kami tunjukkan jalan Kami, dan ALLAH tetap bersama orang yang berbuat baik. ( Al-Ankabut : 69)

Taatilah ( beribadatlah) kepada Tuhanmu, sehingga mati {datang kepadamu keyakinan)
(Al-Hijr : 99)

Sebutlah selalu nama Tuhanmu, dan tuluskan hatimu kepadaNYA (Al-Muzammil :8)

Sabda Rasulullah SAW;

Anas r.a berkata: Rasulullah SAW bersabda dalam apa yang dikatakan dari Firman ALLAH: Jika seorang hamba mendekat kepadaKU sejengkal, maka AKU mendekat kepadanya sehasta, dan jika mendekat kepadaKU sehasta, AKU mendekat kepadanya sedepa, dan jika datang kepadaKU berjalan, AKU datang kepadanya berjalan cepat...(Bukhari)

Abu Hurairah r.a berkata: bersabda Rasulullah SAW; sesungguhnya ALLAH telah berfirman: sesiapa yang memusuhi seorang kekasihKU, maka AKU menyatakan perang kepadanya. Dan tiada mendekat kepadaKU seorang hambaKU dengan sesuatu yang lebih Kusukai daripada menjalankan kewajipannya, dan selalu seorang hambaKU mendekat kepadaKU dengan melakukan sunat-sunat, sehingga Kusukai. Maka apabila AKU telah kasih padanya, Akulah yang menjadi pendengarannya dan penglihatannya, dan sebagai tangan yang digunakannya dan kaki yang dijalankannya, dan apabila ia memohon kepadaKU pasti KUkabulkan, dan jika berlindung kepadaKU pasti KUlindungi. (Bukhary)

Allah, izinkan aku yang kerdil ini mengenalMU

Tuesday, 16 June 2009

Siri Mencari Diri (3)

Firman ALLAH SWT ;

Tetap luruslah engkau sebagaimana diperintahkan kepada mu
(Syura:15)

Sesungguhnya mereka yang telah mengakui, ALLAH tuhan kami, kemudian tetap jujur dalam pengakuan itu, bakal turun para malaikat kepadanya untuk menghibur dengan kata-kata : jangan takut dan jangan berdukacita, dan bergembiralah kamu dengan syurga yang telah dijanjikan kepadamu.
Kami (ALLAH) sebagai pelindungmu pada masa hidupmu di dunia dan di akhirat. Dan untukmu di syurga segala keinginan hatimu, dan bagimu di syurga apa yang kamu minta. Kesemuanya itu sebagai hidangan dari Tuhan yang Maha Pengampun dan Pengasih
(Fussilat:30)

Sesungguhnya mereka yang telah mengakui : Tuhan kami adalah ALLAH, kemudian kekal dalam pengakuan itu, maka tiada rasa takut dan tidak bakal susah. Merekalah ahli syurga yang akan kekal di dalamnya, sebagai pembalasan jasa atas segala amal perbuatan mereka
(Al-Ahqaf:12-13)

Semoga ALLAH merahmati pengembara ini dengan anugerah istiqamah..

Wednesday, 3 June 2009

Siri Mencari Diri (2)

Firman ALLAH SWT

Hai orang yang beriman, bertaqwalah kepada ALLAH dengan sungguh erti taqwa
(Ali Imran:102)

Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada ALLAH dan berkata-katalah dengan kata-kata yang lurus, tepat
(Al-Ahzab:70)

Dan siapa yang bertaqwa kepada ALLAH, nescaya ALLAH memberi kepadanya jalan keluar dari segala kesulitan, dan diberiNYA rezeki dari arah yang tidak diduga
(Attallaaq:2-3)

Jika kamu bertaqwa kepada ALLAH, nescaya ALLAH memberi kepadamu pengertian untuk membezakan antara yang baik dengan yang buruk, dan menutupi kesalahan-kesalahanmu dan mengampunkan dosa-dosamu dan ALLAH maha besar kurniaNYA.
(Al-Anfaal:29)

Wednesday, 20 May 2009

Siri Mencari Diri (1)

ALLAH berfirman
mafhumnya;
"Tiadalah mereka diperintah, kecuali supaya menyembah kepada ALLAH dengan ikhlas dalam menjalankan agama, lurus, dan mendirikan solat, mengeluarkan zakat. Itulah agama yang lurus" ( Al-Bayyinah,ayat 5)

"Tidak sampai kepada ALLAH daging dan darah korban itu, tetapi yang sampai kepada ALLAH ialah jalan Taqwamu" ( Al-Haj, ayat 37 )

"Katakanlah, jika kamu sembunyikan atau kamu terangkan apa yang dalam dadamu itu, tetap diketahui oleh ALLAH" ( Ali-Imron, ayat 29 )

Friday, 24 April 2009

Mudah kah mencari Kezuhudan?

Pesan Ulama', ada tiga peringkat zuhud

  1. Orang yang sentiasa cuba ia menolak dunia, dan mencari akhirat dengan sesungguh-sungguh hatinya. Namun begitu, sering ia merasa sukar, serasa "rugi" apabila dunia itu ditolaknya, atau dalam kata lain, masih ada teringat-ingat dunia itu dalam hatinya. Inilah peringkat zuhud yang ketiga. Tiada kecacatan dalam peringkat ini, masih ia diiktiraf sebagai zuhud.
  2. Orang yang benci ia akan dunia ini, dan sangat kasih ia kepada akhirat. Baginya tiada keperluan untuk dunia. inilah peringkat kedua kezuhudan. Tiada kecacatan bagi peringkat ini, dan tetap ia dikenali sebagai zuhud.
  3. Peringkat ketiga zuhud itu, sempurna disimpulkan dengan riwayat mengenai Sayyidatina Aisyah R.A : pada satu ketika Sayyidatina Aisyah menerima wang sebanyak 100 darham. lalu segera dibahagi-bahagikan kepada orang-orang miskin. Setelah habis dibahagikan wang itu, berkata lah pembantunya, mengapakah tidak Puan ambil sedikit wang itu untuk membeli daging buat berbuka puasa kelak?, maka jawab Sayyidatina Aisyah RA, sesungguhnya aku terlupa, jika kuingat tadi, nescaya kuambil sedikit buat membeli daging yang kau katakan.... maka inilah peringkat zuhud yang paling sempurna.

semoga ALLAH ampunkan aku jika ada kesalahan dalam penceritaan ku tadi, aku sekadar ingin mengingatkan diriku agar tetap dalam jalan ini.

Monday, 30 March 2009

What I really want to say...


This posting is for my little brother Pak Bud.

dear little brother, you may wonder why out of nowhere I decided to dedicate a posting for you. Actually, it does not come from nowhere Bud, it comes from my heart. I have been wanting to tell you a little secret, but i keep hesitating. and my hesitation has taken tens of years.

dear little brother, i want you to know that i am blessed with having YOU as my brother. You are the best little brother anybody would ever want. remember how we went to school together way back in 1984? we rode on a bicycle, you pillion. That moment was etched in my memory, and it will remain there forever. remember also when we had our usual fights? I threw a slipper to your back and you cried. do you remember little brother, when we shared our dirty little secret behind a boulder in Bapak's lombong in Simpang balak? hehehe, i bet you do!

dear little brother, when i went to boarding school, we started to drift apart. but do you know that i always talk about you, in concealed pride? you know, i never failed to point out to anyone who would listen that i have a brother who is a "tokoh Pelajar"? when we became older, your qualities began to surface. you remember telling me, why Bapak seemed to be putting so much pressure on you to do well?. i don't know Bud, i cannot answer on behalf of him. but i do know one thing, it was because i always see you as "the Brain" amongst us. and you did well. again, everybody who knows me will know how many "A's" you got for your SPM. i was so proud of you my brother, and i still am.

Bud, why was it so difficult for me to tell you? it's just three words, so simple, yet so difficult. it took me 32 years of my life (and that's how long you have been in this world) to finally be able to muster the courage to tell you. I am so sorry for my ego, and i wonder, why it took me so long.

Dear little brother, I Love you Bro. and i want you to know that, if i have the chance to choose who i want to be my little brother, i would still choose YOU.

Wednesday, 11 March 2009

PESAN BUYA HAMKA

Pada hari Ahad yang lalu, aku diizinkan ALLAH SWT menziarahi rumah kelahiran Almarhum Haji Abdul Malik Karim Amrullah, atau lebih kita kenali dengan panggilan HAMKA. Jelas aura nya berbeza, penuh kesyahduan mendengar hidupnya diriwayatkan sendiri oleh murid yang juga anak saudaranya Hanif Rasyid S.Pdi. Menelusuri jejak-jejak hidupnya, tergetus betapa jauhnya lagi perjalanan aku sendiri dalam mencari jalan menemui keikhlasan, hingga akhirnya aku nanti diizinkan kembali menemuiNYA.
Empat pesanan HAMKA, untuk jadi ingatan ku :
  1. Siapakah orang yang pintar itu ? Orang pintar adalah orang yang merasa bodoh sehingga tidak berhenti membaca dan belajar.
  2. Orang yang dapat berhubungan dengan yang Maha Suci ALLAH adalah orang yang selalu mensucikan diri. Justeru itu aku harus bertaubat dahulu sebelum berdoa, supaya dengannya aku dapat berhubung dengan ALLAH, dan semoga doaku itu dikabulkan.
  3. Orang yang berbahagia adalah orang yang merintis kehidupannya menuju kampung halamannya. Dan dimanakah kampung halaman ku? Itulah Syurga kurniaan ALLAH.
  4. Ketika rumahku diketuk oleh kemiskinan, aku buka jendela dan aku lompat keluar. Apakah kemiskinan itu? Kemiskinan Ilmu, Kemiskinan Iman, Kemiskinan Akhlak, dan Kemiskinan Harta

Pak Hanif lalu mengakhiri pertemuan kami dengan sebuah cerita;

Seekor anjing pemburuan kuat sekali kesetiaannya pada tuannya. Meskipun sedang menghadap makanan yang enak, jika dipanggil tuannya, terus ia lari menuju tuannya dan meninggalkan apa yang sedang dilakukannya. Sedang manusia, waktu leka ia dengan urusan keduniaannya, bila dilaungkan azan, tanda panggilan untuk menghadap TUHANnya, tidakkah terlintas dihatinya untuk menyahut seruan itu? Maka dimanakah letaknya diri manusia yang lalai jika dibanding anjing yang tidak berakal itu?

Ya RABBI, ampunilah aku yang sering berlaku zalim pada diriku sendiri

Al-Fatihah untuk Almarhum HAMKA.

Thursday, 26 February 2009

Mencari INSAN dalam kemanusiaanku

Tidak mudah membina mahmudah dalam diri yang diselaputi mazmumah. Aku yang berterusan lalai kepada ALLAH SWT, tetapi tidak malu memohon rahmatNYA. Aku yang berterusan rindu pada duniawi, tanpa aib meminta syurgaNYA. Aku yang melafaz kasih pada manusia, tidak segan merayu belasNYA.

Sukar sekali meraup ikhlas dalam gerak dan desah nafas ku. Maka sengaja aku lupa akan firmanNYA, "maka nikmat AKU yang mana lagikah yang hendak kamu dustakan?". begitulah aku yang hamba, merasa tuan. justeru aku yang kerdil merasa besar, diri yang longgar merasa angkuh, jiwa yang rapuh merasa ampuh, hati yang lalai merasa teguh.

Begitu aku manusia gembel, terlalu jauh dari menjadi INSAN. Aku masih lagi mencari beda, antara kemanusiaan ku dan kebinatanganku, antara kemuliaan ku dan kehinaanku, antara kebersihan ku dan kekotoran ku.

Janganlah aku sesat dan alpa dalam pencarian ini, ALLAH...

Thursday, 8 January 2009

Taqwa dalam cinta


Benarkah cinta? benarkah cinta yang telah 12 tahun aku semaikan ini? benarkah aku telah melangsaikan tanggungjawab cintaku pada isteri yang tetap disisi sepanjang alam perkongsian ini? 12 tahun yang lalu, aku melafazkan kecintaan ku pada si dia, lalu dia redha, lalu aku berjanji, dan dia lalu menerima dan memegang janjiku. seusai akad aku lafazkan, maka dia menjadi isteri dan kekasih, teman dan penghibur, perindu dan pemujuk, peramal emosiku dan pengubat resahku. Dan aku jadi suami dan kekasih, pelindung dan pemberi, juga lelaki yang menanggung janji.

lalu dalam muhasabah lelaki suami yang daif ini, aku menilai janji-janji cinta yang aku lafazkan sewaktu cinta masih muda dan penuh menyelubungi seluruh diri...lalu aku bertanya padaku,




1. isteri yang redha akan menerima suaminya seadanya. maka pantaskah jika aku menjadi suami yang cukup seadanya? cukupkah usahaku menjadi suami yang membimbing isteri kejalan ALLAH SWT?




2. isteri yang redha akan tersenyum dengan canda suaminya. maka tuntaskah candaku demi menghibur hati isteriku? adilkah aku jika aku kembali diwaktu senja dengan wajah mencuka tanpa sapaan lembut yang mendamaikan hati isteriku?




3. isteri yang redha akan gembira dengan rezeki yang dibawa pulang suaminya. justeru wajarkah jika aku sekadar menjinjit sebungkus kuih tanpa usaha keras memikul seguni beras?




4. isteri yang redha akan tenang bernaung di pondok usang demi suaminya. tetapi bukankah Taj Mahal yang aku janjikan? maka bukankah janji itu janji cinta yang sewajibnya aku tunaikan?




isteri yang redha adalah isteri solehah. isteri yang redha akan menerima kelemahan suaminya. tetapi suami yang Taqwa adalah suami yang tidak redha mengizinkan isterinya hidup bercalar duri. suami yang taqwa tidak redha isterinya menangis kerana kelemahan suami. suami yang taqwa adalah suami yang tidak redha melihat isterinya menguburkan janji-janji suaminya yang tidak tertunai....




Aku ingin jadi suami dan kekasih, pelindung dan pemberi, dan pencinta yang menunaikan janji...

Monday, 1 December 2008

Jemputan ke sisi ALLAH

I wish to offer my sincerest condolences to the family of ALLAHyarham Datuk Razali Ismail, our deputy education minister. May ALLAH bless him with forgiveness and rahmah.
His appointment as deputy minister was seen by us in the ministry as a light at the end of a dusty and dark tunnel of education. his background as an educationist has made it possible for him to fully appreciate every nook and crannies of our education jungle. too many opportunistic politicians -who had not any inkling of what education is all about- had dipped their dirty hands into the future of our children. thus his appointment had at least rejuvenated our hope which had dimmed all these while.
Of course, his very short time in ministry might not make it possible for him to make a very strong impression on all of us. however, those who had had the chance to work with him said that he was a very hardworking man, and his experiences as an educationist had made it possible for him to really understand the game. Alas, man can only propose, but God disposes.
"Kullu nafsin zaa iqatul maut". May ALLAH bless him. semoga ALLAH menempat ALLAHyarham bersama orang-orang yang di beri petunjuk dan hidayah.