Wednesday, 26 January 2011
definisi kesabaran; satu penilaian semula
Wednesday, 19 January 2011
mencari pasti
Dalam keadaan segala serba tidak pasti, hidup mesti juga dijalani. Dan hidup bukan sebarang hidup. Hidup sebagai orang bertaqwa. menjadi orang bertaqwa, mudah diluah bibir. Menjalani hidup taqwa bagaimana?
Orang bertaqwa :
- Aliff, Laam, Miim
- Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya) ; ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang ( hendak) bertaqwa
- Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezqi yang Kami berikan kepada mereka.
- Dan juga orang-orang yang beriman kepada kitab Al-Quran yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad), dan kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya).
- Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya...
Tuesday, 18 January 2011
Prolog
Menjalani kehidupan adalah tugas paling berat buat manusia aku. Terpesona dengan kemanisan dunia yang sementara, tanggungjawab ukhrawi kucicir dan kucuai, sedar dan tanpa sedar. Masakan tidak, Allah berpesan di dalam QalamNya, betapa manusia yang mencintai dunia, pasti disibukkanNYA dengan urusan yang tidak berkesudahan. Lalai aku dengan hakikat manisnya dunia ini manis yang beracun, indahnya dunia ini indah yang bersalut kepuraan, cantiknya nafsu ini nafsu yang menjerumuskan aku ke murka Pencipta... sudahlah menyanyi syair dunia, hentilah menganyam impian nafsu.. Tuhanku, aku tidak layak untuk FirdausMu, namun aku tidak kuat menanggung seksa Jahim.. terimalah taubatku ya Allah, ampunilah dosa-dosaku wahai Allah yang maha Pengasih dan Penyayang..
Monday, 1 March 2010
Mengenal kenal, dan mengejar redha
Saat aku melaungkan pada diri, aku tidak peduli pada dunia dan isinya, ammarah tetap mudah menyelubungi. Aku masih sukar menahan diri dari marah, marah yang memang biasanya manusia miliki. Namun aku enggan menerima kelemahan ini, kerana aku tahu, sebagai manusia yang tahu, aku tidak seharusnya punyai ammarah, meski bisikan jahat memujuk aku tunduk pada perasaan.
Begitulah aku, yang merasai kenal, sebenarnya masih terlalu jauh dari mengenal diriku. Lantas, kejahilan ini mungkinkah mendorong aku kearah MakrifatuLLAH ? mana mungkin? kerana tanpa kenal diriku sendiri, mustahil aku akan kenal padaNYA. Sebelum DIA aku kenali, bagaimana mengharap redhaNYA?
Lalu hiduplah aku dalam pencarian, saling tak tumpah pencarian ini seperti air yang mengalir dari punca digunung. mengalir dan mengalir, mencari lautan lepas - hidup kekal di alam abadi.
Wednesday, 14 October 2009
Mencari Rindu Yang Hakiki
Thursday, 9 July 2009
Siri Mencari Diri (iv)
Mereka yang berjuang untuk keredhaan Kami, pasti Kami tunjukkan jalan Kami, dan ALLAH tetap bersama orang yang berbuat baik. ( Al-Ankabut : 69)
Taatilah ( beribadatlah) kepada Tuhanmu, sehingga mati {datang kepadamu keyakinan)
(Al-Hijr : 99)
Sebutlah selalu nama Tuhanmu, dan tuluskan hatimu kepadaNYA (Al-Muzammil :8)
Sabda Rasulullah SAW;
Anas r.a berkata: Rasulullah SAW bersabda dalam apa yang dikatakan dari Firman ALLAH: Jika seorang hamba mendekat kepadaKU sejengkal, maka AKU mendekat kepadanya sehasta, dan jika mendekat kepadaKU sehasta, AKU mendekat kepadanya sedepa, dan jika datang kepadaKU berjalan, AKU datang kepadanya berjalan cepat...(Bukhari)
Abu Hurairah r.a berkata: bersabda Rasulullah SAW; sesungguhnya ALLAH telah berfirman: sesiapa yang memusuhi seorang kekasihKU, maka AKU menyatakan perang kepadanya. Dan tiada mendekat kepadaKU seorang hambaKU dengan sesuatu yang lebih Kusukai daripada menjalankan kewajipannya, dan selalu seorang hambaKU mendekat kepadaKU dengan melakukan sunat-sunat, sehingga Kusukai. Maka apabila AKU telah kasih padanya, Akulah yang menjadi pendengarannya dan penglihatannya, dan sebagai tangan yang digunakannya dan kaki yang dijalankannya, dan apabila ia memohon kepadaKU pasti KUkabulkan, dan jika berlindung kepadaKU pasti KUlindungi. (Bukhary)
Allah, izinkan aku yang kerdil ini mengenalMU
Tuesday, 16 June 2009
Siri Mencari Diri (3)
Tetap luruslah engkau sebagaimana diperintahkan kepada mu
(Syura:15)
Sesungguhnya mereka yang telah mengakui, ALLAH tuhan kami, kemudian tetap jujur dalam pengakuan itu, bakal turun para malaikat kepadanya untuk menghibur dengan kata-kata : jangan takut dan jangan berdukacita, dan bergembiralah kamu dengan syurga yang telah dijanjikan kepadamu.
Kami (ALLAH) sebagai pelindungmu pada masa hidupmu di dunia dan di akhirat. Dan untukmu di syurga segala keinginan hatimu, dan bagimu di syurga apa yang kamu minta. Kesemuanya itu sebagai hidangan dari Tuhan yang Maha Pengampun dan Pengasih
(Fussilat:30)
Sesungguhnya mereka yang telah mengakui : Tuhan kami adalah ALLAH, kemudian kekal dalam pengakuan itu, maka tiada rasa takut dan tidak bakal susah. Merekalah ahli syurga yang akan kekal di dalamnya, sebagai pembalasan jasa atas segala amal perbuatan mereka
(Al-Ahqaf:12-13)
Semoga ALLAH merahmati pengembara ini dengan anugerah istiqamah..
Wednesday, 3 June 2009
Siri Mencari Diri (2)
Hai orang yang beriman, bertaqwalah kepada ALLAH dengan sungguh erti taqwa
(Ali Imran:102)
Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada ALLAH dan berkata-katalah dengan kata-kata yang lurus, tepat
(Al-Ahzab:70)
Dan siapa yang bertaqwa kepada ALLAH, nescaya ALLAH memberi kepadanya jalan keluar dari segala kesulitan, dan diberiNYA rezeki dari arah yang tidak diduga
(Attallaaq:2-3)
Jika kamu bertaqwa kepada ALLAH, nescaya ALLAH memberi kepadamu pengertian untuk membezakan antara yang baik dengan yang buruk, dan menutupi kesalahan-kesalahanmu dan mengampunkan dosa-dosamu dan ALLAH maha besar kurniaNYA.
(Al-Anfaal:29)
Wednesday, 20 May 2009
Siri Mencari Diri (1)
mafhumnya;
"Tiadalah mereka diperintah, kecuali supaya menyembah kepada ALLAH dengan ikhlas dalam menjalankan agama, lurus, dan mendirikan solat, mengeluarkan zakat. Itulah agama yang lurus" ( Al-Bayyinah,ayat 5)
"Tidak sampai kepada ALLAH daging dan darah korban itu, tetapi yang sampai kepada ALLAH ialah jalan Taqwamu" ( Al-Haj, ayat 37 )
"Katakanlah, jika kamu sembunyikan atau kamu terangkan apa yang dalam dadamu itu, tetap diketahui oleh ALLAH" ( Ali-Imron, ayat 29 )
Friday, 24 April 2009
Mudah kah mencari Kezuhudan?
- Orang yang sentiasa cuba ia menolak dunia, dan mencari akhirat dengan sesungguh-sungguh hatinya. Namun begitu, sering ia merasa sukar, serasa "rugi" apabila dunia itu ditolaknya, atau dalam kata lain, masih ada teringat-ingat dunia itu dalam hatinya. Inilah peringkat zuhud yang ketiga. Tiada kecacatan dalam peringkat ini, masih ia diiktiraf sebagai zuhud.
- Orang yang benci ia akan dunia ini, dan sangat kasih ia kepada akhirat. Baginya tiada keperluan untuk dunia. inilah peringkat kedua kezuhudan. Tiada kecacatan bagi peringkat ini, dan tetap ia dikenali sebagai zuhud.
- Peringkat ketiga zuhud itu, sempurna disimpulkan dengan riwayat mengenai Sayyidatina Aisyah R.A : pada satu ketika Sayyidatina Aisyah menerima wang sebanyak 100 darham. lalu segera dibahagi-bahagikan kepada orang-orang miskin. Setelah habis dibahagikan wang itu, berkata lah pembantunya, mengapakah tidak Puan ambil sedikit wang itu untuk membeli daging buat berbuka puasa kelak?, maka jawab Sayyidatina Aisyah RA, sesungguhnya aku terlupa, jika kuingat tadi, nescaya kuambil sedikit buat membeli daging yang kau katakan.... maka inilah peringkat zuhud yang paling sempurna.
semoga ALLAH ampunkan aku jika ada kesalahan dalam penceritaan ku tadi, aku sekadar ingin mengingatkan diriku agar tetap dalam jalan ini.
Wednesday, 15 April 2009
Monday, 30 March 2009
What I really want to say...

Wednesday, 11 March 2009
PESAN BUYA HAMKA
Empat pesanan HAMKA, untuk jadi ingatan ku :
- Siapakah orang yang pintar itu ? Orang pintar adalah orang yang merasa bodoh sehingga tidak berhenti membaca dan belajar.
- Orang yang dapat berhubungan dengan yang Maha Suci ALLAH adalah orang yang selalu mensucikan diri. Justeru itu aku harus bertaubat dahulu sebelum berdoa, supaya dengannya aku dapat berhubung dengan ALLAH, dan semoga doaku itu dikabulkan.
- Orang yang berbahagia adalah orang yang merintis kehidupannya menuju kampung halamannya. Dan dimanakah kampung halaman ku? Itulah Syurga kurniaan ALLAH.
- Ketika rumahku diketuk oleh kemiskinan, aku buka jendela dan aku lompat keluar. Apakah kemiskinan itu? Kemiskinan Ilmu, Kemiskinan Iman, Kemiskinan Akhlak, dan Kemiskinan Harta
Pak Hanif lalu mengakhiri pertemuan kami dengan sebuah cerita;
Seekor anjing pemburuan kuat sekali kesetiaannya pada tuannya. Meskipun sedang menghadap makanan yang enak, jika dipanggil tuannya, terus ia lari menuju tuannya dan meninggalkan apa yang sedang dilakukannya. Sedang manusia, waktu leka ia dengan urusan keduniaannya, bila dilaungkan azan, tanda panggilan untuk menghadap TUHANnya, tidakkah terlintas dihatinya untuk menyahut seruan itu? Maka dimanakah letaknya diri manusia yang lalai jika dibanding anjing yang tidak berakal itu?
Ya RABBI, ampunilah aku yang sering berlaku zalim pada diriku sendiri
Al-Fatihah untuk Almarhum HAMKA.
Thursday, 26 February 2009
Mencari INSAN dalam kemanusiaanku
Tidak mudah membina mahmudah dalam diri yang diselaputi mazmumah. Aku yang berterusan lalai kepada ALLAH SWT, tetapi tidak malu memohon rahmatNYA. Aku yang berterusan rindu pada duniawi, tanpa aib meminta syurgaNYA. Aku yang melafaz kasih pada manusia, tidak segan merayu belasNYA.
Sukar sekali meraup ikhlas dalam gerak dan desah nafas ku. Maka sengaja aku lupa akan firmanNYA, "maka nikmat AKU yang mana lagikah yang hendak kamu dustakan?". begitulah aku yang hamba, merasa tuan. justeru aku yang kerdil merasa besar, diri yang longgar merasa angkuh, jiwa yang rapuh merasa ampuh, hati yang lalai merasa teguh.
Begitu aku manusia gembel, terlalu jauh dari menjadi INSAN. Aku masih lagi mencari beda, antara kemanusiaan ku dan kebinatanganku, antara kemuliaan ku dan kehinaanku, antara kebersihan ku dan kekotoran ku.
Janganlah aku sesat dan alpa dalam pencarian ini, ALLAH...
Thursday, 8 January 2009
Taqwa dalam cinta
lalu dalam muhasabah lelaki suami yang daif ini, aku menilai janji-janji cinta yang aku lafazkan sewaktu cinta masih muda dan penuh menyelubungi seluruh diri...lalu aku bertanya padaku,
1. isteri yang redha akan menerima suaminya seadanya. maka pantaskah jika aku menjadi suami yang cukup seadanya? cukupkah usahaku menjadi suami yang membimbing isteri kejalan ALLAH SWT?
2. isteri yang redha akan tersenyum dengan canda suaminya. maka tuntaskah candaku demi menghibur hati isteriku? adilkah aku jika aku kembali diwaktu senja dengan wajah mencuka tanpa sapaan lembut yang mendamaikan hati isteriku?
3. isteri yang redha akan gembira dengan rezeki yang dibawa pulang suaminya. justeru wajarkah jika aku sekadar menjinjit sebungkus kuih tanpa usaha keras memikul seguni beras?
4. isteri yang redha akan tenang bernaung di pondok usang demi suaminya. tetapi bukankah Taj Mahal yang aku janjikan? maka bukankah janji itu janji cinta yang sewajibnya aku tunaikan?
isteri yang redha adalah isteri solehah. isteri yang redha akan menerima kelemahan suaminya. tetapi suami yang Taqwa adalah suami yang tidak redha mengizinkan isterinya hidup bercalar duri. suami yang taqwa tidak redha isterinya menangis kerana kelemahan suami. suami yang taqwa adalah suami yang tidak redha melihat isterinya menguburkan janji-janji suaminya yang tidak tertunai....
Aku ingin jadi suami dan kekasih, pelindung dan pemberi, dan pencinta yang menunaikan janji...
Monday, 1 December 2008
Jemputan ke sisi ALLAH
His appointment as deputy minister was seen by us in the ministry as a light at the end of a dusty and dark tunnel of education. his background as an educationist has made it possible for him to fully appreciate every nook and crannies of our education jungle. too many opportunistic politicians -who had not any inkling of what education is all about- had dipped their dirty hands into the future of our children. thus his appointment had at least rejuvenated our hope which had dimmed all these while.
Of course, his very short time in ministry might not make it possible for him to make a very strong impression on all of us. however, those who had had the chance to work with him said that he was a very hardworking man, and his experiences as an educationist had made it possible for him to really understand the game. Alas, man can only propose, but God disposes.
"Kullu nafsin zaa iqatul maut". May ALLAH bless him. semoga ALLAH menempat ALLAHyarham bersama orang-orang yang di beri petunjuk dan hidayah.
Wednesday, 26 November 2008
Mencari ikhlasnya aku

mampukah aku menemui keikhlasan dalam perjalanan singkat menuju alam kekal di sisi ALLAH suatu hari nanti?
ikhlas itu seperti seekor semut hitam di atas batu hitam di malam yang gelap gelita.. itu sebaris bicara yang pernah kubaca. lalu, jika sebegitu sukarnya mencari keikhlasan dari sudut takrifnya, pasti mencari ikhlas dalam diriku ini lebih sukar lagi. ikhlas kah aku? dalam menjalani perjalanan dan ujian ini? adakah aku ikhlas jika :-
- serentak tangan kananku menghulur sedekah ke tangan kecil anak-anak yang meminta, serentak hati berdetik betapa mereka ini dipergunakan oleh si dewasa yang keji?
- rapat bahu ku menghimpit teman jemaah, tetapi jauh hati ku dari silaturrahim mereka?
- senyum aku pada jiran yang menyapa, tetapi jengkil jiwaku pada kucingnya yang mengotori laman ku?
- ramah bicaraku pada rakan yang menegur, tapi dingin sukma ku pada dirinya?
- tekun langkahku mengais rezeki, tapi lemah tanganku pada amanah?
- ku beri ihsan dan kasih pada isteri yang bernaung pada ku, tetapi ku kurung redha pada kelemahan-kelemahannya?
maka sesatkah aku dalam pencarian?. mencari ikhlas yang benar tulus. tak mengapa, aku akan terus mencari. semoga ALLAH memberiku waktu.
Wednesday, 19 November 2008
Congratulations for job well done

Tuesday, 2 September 2008
Mencari Erti Ramadan
Sempena Ramadan yang mulia ini, izinkan saya berpesan kepada diri saya sendiri dan juga kepada saudara-saudari sekelian agar kita sama-sama mengambil kesempatan dari keberkatan bulan ini. marilah kita perbanyakkan ibadah, dan menghentikan permusuhan, terutama sekali permusuhan yang tidak membawa manfaat pada agama dan bangsa kita.
sekiranya sepanjang perkenalan kita di arena maya ini, wujud kata-kata yang mengguris dan menyakitkan hati , dengan ikhlasnya saya pohon kemaafan. sesungguhnya sebagai manusia, saya selalunya merasa megah dengan pendapat sendiri, dan selalu saja merasa yakin bahawa saya berada dalam kebenaran. namun, hakikat sebenarnya hanya ALLAH SWT yang maha mengetahui.
Salah atau Benar tidak sejelas Hitam atau Putih...
Thursday, 21 August 2008
Tuhan, aku ingin kembali
terbit rindu
pada ketulusan kata yang hanya selapis makna
membaca kejernihan mata anak itu
timbul ingin
pada keikhlasan rasa yang lurus tujunya
begitu aku menilai kekotoran nurani
pada diri yang jauh sesat di belantara duniawi
kata-kata senyum dan tangis yang sentiasa dilingkari
kelupaan pada tujuan ukhrawi
gerak badan angguk dan geleng yang penuh makna
penuh siratan yang membayangi tujuan
merenung sinar dari mata anak itu
membuat aku ingin kembali.